Thursday, September 29, 2022

SUDUT KEMERDEKAAN 2022

SUDUT KEMERDEKAAN 2022

Marjan Mohd Noor, Fakulti Perakaunan, Universiti Teknologi MARA Cawangan Perlis.   

 


Tarikh keramat 31 Ogos adalah tarikh yang amat bermakna buat kita semua rakyat Malaysia kerana ia merupakan hari kita menyambut Hari Kemerdekaan. Setiap tahun sambutan secara gilang-gemilang akan diadakan bagi meraikan hari keramat itu. Semangat kemerdekaan dan cinta akan negara seharusnya dijiwai oleh setiap lapisan masyarakat di Malaysia. Bagi menyemarakkan lagi semangat kemerdekaan ini, UiTM Cawangan Perlis telah menganjurkan pelbagai program dan aktiviti menarik yang berunsurkan patriotik sejak 10 Ogos 2022 yang lepas. Antara program dan aktiviti yang diadakan termasuklah Coretan Kemerdekaan, Baca untuk Merdeka, Pertandingan Sudut Kemerdekaan, Kuiz Kemerdekaan, Seni Anak Merdeka, Pertandingan Inovasi Busana Kemerdekaan, Hari Refleksi Kemerdekaan dan HEA Explore Race UiTM Merdeka.

Para pensyarah Fakulti Perakaunan juga tidak melepaskan peluang menyertai program yang diadakan sempena sambutan kemerdekaan ini. Segmen pertandingan yang disertai oleh pihak fakulti adalah Pertandingan Sudut Kemerdekaan. Antara pensyarah-pensyarah yang terlibat adalah terdiri daripada En Rashid Sintha Madar, bertindak selaku ketua bagi pertandingan ini, Dr Marjan Mohd Noor, Puan Norshimah Abdul Rahman, dan juga Puan Nazirah Naiimi. Penglibatan pihak Fakulti Perakaunan, UiTM Perlis buat julung-julung kalinya menyertai pertandingan seperti ini dan juga telah mencipta sejarah, di mana usaha keras menyiapkan sudut kemerdekaan ini akhirnya diiktiraf oleh pihak penganjur pertandingan.

Pihak Fakulti telah diberi penghormatan melalui pertandingan ini dengan kejayaan merangkul Anugerah Khas Juri yang telah disampaikan oleh Yang Berbahagia Professor Madya Ts. Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi, Rektor UiTM Cawangan Perlis. Anugerah yang dirangkul ini amat bererti buat warga fakulti kerana ia adalah hasil usaha dan semangat kerjasama yang jitu yang telah diberikan sepanjang proses menghasilkan satu sudut kreatif kemerdekaan, bukan sahaja daripada ahli-ahli yang terlibat, juga sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada rakan-rakan fakulti yang lain. 

Program ini bukan sahaja telah berjaya menerapkan jiwa patriotism yang utuh dalam kalangan warga fakulti dan mendidik kalangan warga untuk menzahirkan makna kemerdekaan melalui kreativiti seni yang ditonjolkan, malah telah berjaya mengeratkan hubungan silaturahim dan menghargai semangat kerja yang diberikan oleh semua ahli yang terlibat. Program ini juga ternyata telah berjaya menyerlahkan kebersamaan seluruh warga fakulti sebagai sebuah keluarga yang utuh dan harmoni melalui semangat sinergi kerja yang luar biasa. Kesungguhan dan ketabahan daripada komitmen yang luar biasa ini telah membuahkan kejayaan yang amat bermakna buat Fakulti Perakaunan sempena sambutan Hari Kemerdekaan 2022. Semoga semangat positif sebegini terus mekar diterapkan dalam jiwa setiap warga fakulti agar terus berganding bahu dan bersemangat dalam menjayakan visi dan misi untuk kecemerlangan fakulti.

Ahli fakulti sedang tekun dan bertungkus lumus dalam menyiapkan sudut kemerdekaan. Antara tulang belakang di sebalik terbinanya Sudut Kemerdekaan Fakulti Perakaunan 2022.

 
   

Bermula dengan sebuah ruangan kosong, dengan kekuatan dan semangat sinergi yang diberikan oleh rakan-rakan fakulti, maka terciptalah sebuah sudut kemerdekaan yang bertata riaskan pelbagai info grafik dan seni kreativiti di sudut ini.

 

Terkadang, kami terlupa akan penat dan lelah untuk mencapai saat seperti ini kerana indahnya silaturahim yang terbina kerana muafakat berkerjasama. Turut memberi sokongan padu adalah Yang Berbahagia Professor Madya Dr. Azrul Abdullah, Ketua Pusat Pengajian Fakulti Perakaunan (berdiri di hujung sebelah kiri).

Terpancar kegembiraan di wajah insan-insan ini setelah tamat sessi penjurian.  
Kita MERDEKA!!!!
 
 

Suasana meriah ketika sessi penjurian berlangsung. Naskhah surat khabar tahun 1957, antara bahan sejarah yang berharga dan masih sempurna disimpan oleh En Rashid Sintha Madar dan naskhah-naskhah ini telah berjaya menarik perhatian para juri. Terima kasih En Rashid kerana berjaya mengembalikan nostalgia sejarah lama kemerdekaan Malaysia kepada kami semua.


Saat indah terakam apabila hasil usaha membangunkan Sudut Kemerdekaan Fakulti Perakaunan telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Khas Juri.